Tuesday 7 January 2014

Mari Belajar dari Alam (Langit)

Alhamdulillah, setelah sekian detik aku memohon ilham, Allah telah menghadiahkan Ilham ini buatku, bagi tatapan semua pembaca. Terimalah puisiku yang tidak seberapa ini mengenai Langit ~

Mari Belajar Dari Langit

Oh Langit,
Kau dijadikan oleh Tuhanku tidak berpasak (tidak bertiang),
Namun, tiada manusia sibuk mencari hikmah darimu,
Tidak pula mereka berfikir tentangmu,
Kerana mereka sibuk dengan alam mereka yang tidak berjemu.

Oh Langit,
Sungguh setiap kali aku melihatmu,
Hatiku menjadi sayu,
Melihat Kebesaran Tuhanku,
Bertakhta di atas dirimu,
Namun, tidak semua berfikiran sepertiku,
Rugi sekali nasib mereka itu.

Oh Langit,
Tahukah kamu apa yang mereka fikirkan ?
Mereka terkenangkan cinta manusia mereka,
Sibukkan harta dunia mereka,
Takutkan kematian mereka,
Sehingga lupa kejadian engkau kepada mereka.

Andai engkau menghempapku, maka binasalah badanku


Oh Langit,
Andaikata Tuhanku tidak menjadikanmu, (Tuhan lain yang menjadikannya)
Nescaya jatuhlah engkau menghempap daku, (kerana ia tidak akan sempurna)
Binasalah badanku,
Bercerailah jasadku,
Namun itu semua satu andaian pada diriku,
Untuk memuji Keagungan Tuhanku.

Oh Langit,
Jika engkau berkata-kata denganku,
Alangkah gembiranya hatiku,
Kerana aku bisa bertutur denganmu,
Sebagai makhluk untukku melepaskan perasaanku,
Namun, kau dibisukan Tuhanku,
Kerana Dia mahu aku luahkan segala-galanya kepada Dia,
Itulah Tuhanku, Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang,

Oh Langit,
Engkau sungguh erat dengan sahabat engkau, Si Awan,
Alangkah eratnya engkau dengan dia sehinggakan engkau biarkan dia bertapak pada dirimu,
Tanpa engkau tiadalah si awan dapat mencurahkan air,
Menyuburkan tanah buat kami,
Tetapi, umat manusia lupa tentang jasa engkau,
Mereka lebih melihat dan menyanjung si Awan,
Adakah ini erti kawan ?

Oh Langit,
Akan tiba satu hari engkau akan menimpa kami,
Hari itu akan menggoncang kami,
Engkau jatuh bagai jatuhnya kaca ke atas lantai,
Tiada yang tinggal melainkan berderai,
Itulah Hari Yang Kami tunggukan,
Hari di saat kami (orang-orang soleh) tiada lagi untuk penyaksian,
Namun kami tetap membenarkan hari Keadilan.
Kerana inilah yang dinamakan Keimanan.

Adakah aku akan berjumpa dengan engkau lagi?

Oh Langit,
Tatkala matahari mulai berlabuh,
Aku bimbang tidak ketemui engkau lagi,
Namun ku lihat engkau disinari cahayanya yang sangat indah sekali,
Berseri tiada bererti,
Adakah aku akan bertemu dengan engkau nanti ?

Oh Langit,
Tatkala malam menjelma,
Tiadalah aku melihat melainkan gelap gulita,
Namun Tuhanku hadirkan bulan dan bintang menemanimu,
Sebagai sumber cahaya untukku melihatmu,
Sungguh indah dirimu,
Adakah engkau pernah dipuji oleh makhluk itu (manusia) ?

Langit diciptakan oleh Allah swt

Oh Langit,
Saat pagi mulai terbit,
Aku melihat mu lagi,
Tidak berganjak dari tempat mu walau seinci,
Sungguh taat engkau pada Tuhan Yang Maha Suci,
Aku terfikir sesekali,
Adakah aku ini taat seperti engkau wahai langit yang Tinggi (tinggi dalam ketaatan)?

Oh Langit,
Sifat seorang hamba terbentang luas pada dirimu,
Ku cuba belajar darimu,
Setiap hari aku melihatmu,
Supaya aku dapat melihat Tuhanku,
Namun, ianya mustahil buatku,
Kerana Tuhanku bukan padamu,
Dia tiada bertempat pada mana-mana pun.

Berapa luas kamu wahai langit ? Keampunan Tuhanku lebih luas darimu

Oh Langit,
Andaikata aku berdosa seluas dirimu,
Ketahuilah,
Pengampunan Tuhanku lebih luas dari dirimu.
Andaikata aku dapat lari darimu,
Ketahuilah,
aku tidak dapat lari daripada Tuhanku.

Oh Langit,
Jika ada yang menyembahmu sebagai Tuhan,
Katakanlah kepada mereka,
"Sesungguhnya, jika cahaya mentari tiada, binasalah aku",
Kerana tanpa cahaya, engkau tiada kelihatan,
Itulah kelemahanmu duhai langit yang membiru.

Kiblat Para Pendoa


Oh Langit,
Engkau kiblat para peminta doa,
Bukan kerana engkau Pemakbul Hajat,
Bukan juga kerana engkau menanggung Tuhan,
Tetapi kerana engkau adalah suatu kiblat bagi doa,
Doa yang bakal dikabulkan oleh Yang Maha Tinggi.
Peranan engkau tidak ubah seperti Kaabah,
Tempat kami berkongsi arah,
Bagi menyembah kepada Allah,
Namun, bukan bererti Dia di Kaabah,
Hanya semata-mata kerana ingin seragamkan Ummah,
Maka kami berpaling ke arah Kaabah.

Oh Langit,
Masih banyak yang perlu aku belajar darimu,
Akan ku terokai dirimu selalu,
Bagi mendapat ilmu Baru,
Doalah kepadaku.

Semoga Ketaatan kami semua lebih Tinggi dari engkau

Aku hanyalah hamba. Hamba yang tidak berhenti berfikir. Andai kata pemikiran aku ini bermanfaat buatmu, maka sebarkanlah. Andaikata ia tidak bermanfaat, maka aku berlindung daripada Tuhanku Yang Maha Suci
daripada segala keburukan. Sesungguhnya BANYAK lagi manfaat yang kita boleh dapat, namun fikiranku terbatas di sini sahaja. :')

Karya ini bukan dariku. Ia dari penelitian seorang hamba Allah swt. Semoga bermanfaat buat kita semua.

Belajarlah dari (memerhati) sekeliling kita. Sesungguhnya, Alam adalah makhluk yang paling baik untuk kita menimba hikmah dan ilmu baru untuk manfaat kita bersama.

Sekian. Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment

KakiBlog