Thursday 20 February 2014

Mari Belajar dari Alam (Kisah Salik dan Air)

Alhamdulillah, akhirnya kisah ini dapat juga daku "publish" setelah daku cuba "menghadamnya" supaya TIDAK MEMAKAN diriku di kelak hari. Namun jika ku kecundang, ku mohon keampunan daripadaNya.

Apa yang kita akan dapat daripada Sungai ?

Dengan Nama Allah ~ Penaku bergerak ~



Dalam perjalanan Si Salik mencari Tuhannya, dia berhenti seketika di sebuah hutan yang berdekatan dengan sebuah sungai. Si Salik melunaskan hutang rehatnya akibat terlalu lama berjalan. Dalam masa itu, dia terlihat akan sebatang sungai yang airnya mengalir deras. Tiba-tiba Si Salik berteriak "Allahu" dan terus menangis. Lalu, dia berkata : -

"Duhai Air, Sungguh, tatkala aku melihatmu, aku terlihat (mengingati) akan Tuhanku. Aku selama ini telah SYIRIK kerana BERTUHANKANmu. Dahulu, aku diberitahu bahawasanya sekiranya TIADA AIR di muka bumi ini, PASTI seseorang manusia itu bahkan semua makhluk di muka bumi ini akan mati. Aku telah MENGIMANINYA. Tetapi, itu semua DUSTA belaka. Aku hidup BUKAN kerana engkau ADA, tetapi kerana Allah swt yang menginginkannya (sifat Irodah). Dia ingin aku hidup. Namun, sayang sekali, masih ramai manusia lebih takut kehilangan engkau (air) daripada kehilangan Tuhan mereka (Redho Allah). Mereka hanya nampak Makhluk, sedangkan aku nampak Al Khaliq. Aku nampak Dia menerusi engkau."

"Oh Air Sungai, sungguh deras aliran mu. Adakah engkau mengejar Tuhanmu ? Aduh, malangnya nasibku ini. Aku tidak bersungguh seperti engkau dalam mencari Tuhanku. Engkau sanggup membedal jasadmu dengan batu-batuan yang ada semata-mata menuruti arahan Yang Maha Esa. Namun aku..... aku langsung tidak sanggup berbuat pengorbanan sepertimu. Malangnya diriku ini, ingin berjumpa Tuhan tetapi malas membuat pengirbanan. Apakah aku ini masih seprang insan ?"



Kemudian, Si Salik berhenti berkata-kata. Dia menyusuri sungai yang ada dan melihat air menjadi sangat tenang dan jernih pada tempat itu. Dia kemudiannya menitiskan air matanya semula. Dia berkata sambil melihat dirinya (bayangnya) di dalam air tersebut : -

"Duhai diriku yang akan binasa, apakah engkau setenang air ini setelah binasa (mati)? Apakah engkau akan menjadi seperti air ini tatkala berduka ? Menjadi tenang senantiasa setelah mengharungi pengorbanan kepada Yang Tercinta. Sungguh, aku merasakan engkau tidak akan bisa menjadi seperti air walaupun dirimu diliputi oleh air. Sungguh mudah aku melihat diriku di dalam air, tetapi sangat sukar untukku melihat diriku secara rohani (dalaman). Inikah petanda aku belum sepenuhnya Muhasabah ?"

Setelah itu, Si Salik merasa begitu dahaga. Dia mencelupkan kedua belah tangannya dan "menakungkan" air tersebut dan terus minum. Kemudian, dia membasuh mukanya dengan air tersebut bagi menghilangkan kesan air matanya. Namun, air matanya kembali mencurah. Dia tidak dapat menahannya, justeru berkata : -

"Oh Air, Sungguh, aku tiada kuasa menahan sebak di dadan. Engkau mahu tahu apa yang aku fikirkan dan apa yang hatiku renungkan ? Sesungguhnya, aku terfikirkan Cinta Tuhanku kepadaku, dan merenungkan Cintaku kepadaNya. Cinta Tuhanku kepada lebih besar daripada cintamu kepadaku. Engkau menghilangkan dahagaku, tetapi Tuhanku memberikan aku segala yang zahir dan batin (tersembunyi). Dia beri aku tangan, namun aku menyalahgunakannya. Dia beri aku kaki, namun aku berjalan ke arah maksiat dengannya. Dia beri aku mata, namun aku tidak melihatNya. Dia beri aku telinga, namun aku tidak mendengar KalamNya. Dia beri aku mulut, namun aku tidak berzikir dengannya. Dia beri aku aqal, namun aku tidak memikirkan kekuasaanNya. Dia beri aku hati, namun aku tidak mengingatiNya. Jawablah pertanyaanku wahai air sungai ! Adakah aku layak berada di sisiNya ? Aku merenung diriku, sungguh aku mendapati diriku tiada melakukan apa-apa untuk berada denganNya. Aku tiada menginfakkan harta pada JalanNya. Tiada pula berjihad menegakkan SyiarNya. Sungguh, aku hanya hamba yang kosong. Kosong daripada memberi TETAPI penuh dengan menerima. Aku bertaubat kepadamu Wahai Tuhan Yang Satu. Sungguh, tatkala aku melihat diriku, aku mendapati Tuhanku (yang diyakini dan diimani, BUKANNYA yang WAJIB yakini dan diimani) "tidak sempurna". Kerana, aku sering melakukan maksiat disebabkan aku "menyembah" Tuhan yang "sesat". Tuhan yang aku sembah selama ini buta, tuli, bisu, jahil bahkan TIDAK ADA. Mengapa aku berkata begitu ? Kerana dikala aku melakukan maksiat, aku nafikan (lupa) Tuhanku Maha Melihat. Dikala aku berkata dengan kalimah yang fasad (buruk), aku dustakan Tuhanku Maha Mendengar. Dikala aku mengikuti jalan fasiq, aku lupa Kalam Tuhanku yang melarang aku daripada mengikuti jalan itu.Dikala aku berniat buruk, aku ingkar Tuhanku Yang Maha Mengetahui Segala-galanya sejak Azali lagi. Dikala aku menuruti jalan Kufur, aky bagaikan menafikan Kewujudan Wajibul Wujud, Allah swt, Tuhan Yang Maha Agung. Ya Allah ! aku bertaubat dengamu dari apa yang aku lakukan. Aku telah lama berada di dalam kegelapan kejahilan. Sungguh, Engkau Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha Mengetahui, Lagi Maha Penyayang. Terimalah taubat ku wahai Tuhan Yang Maha Pengampun Lagi Maha Penerima Taubat. Sungguh, engkau TERNAFI dari sifat yang LEMAH. Bukan Engkau yang buta, tetapi aku yang BUTA. Bukan Engkau yang tuli, tetapi akulah yang TULI. Bukan Engkau yang tiada, tetapi akulah YANG TIADA. Yang ADA hanya Engkau ! Kekal ADA. Aku hanya ADA pada BAHASA, bukan pada MAKNA. Ampunilah daku wahai Tuhan Yang Satu."

Apa yang Laut bakal ajar kita ?

Si Salik kemudiannya jatuh pengsan beberapa ketika. Sesudah itu, dia bangun semula dan mengikuti arah air sambil beristighfar hingga dia menemui sebuah laut yang terbentang luas. Dia berhenti kepenatan dan mencedok air laut untuk diminum. Tatkala titisan pertama mengenai lidahnya, dia terus meludahkannya dan membuang air tersebut seraya berkata : -

"Alangkah masinnya dirimu wahai air laut. Sungguh aku hairan, aku mengikuti jalan sungai yang airnya penuh kesegaran dan kelazatan hingga aku menemui dirimu (laut). Namun, bilamana aku merasai dirimu, tidak seperti ku jangka. Engkau sungguh masuh dan tiada kelazatan. Apakah hikmah semua ini ?"

Si Salik kemudian duduk sambil berfikir sejenak. Kemudian, dia mendapat Ilham. Dia lantas berkata : -

"SubhanAllah ! Maha Suci Allah (daripada sifat lemah) yang telah menciptakan dirimu wahai laut walaupun berasal dari sumber yang satu (sungai). Sungguh, Tuhanku telah memberi Ilham kepadaku. Aku melihat kejadianku seperti umat manusia. Kami berasal dari sumber yang satu iaitu Adam dan Hawa, namun, daripada mereka berdua, Allah ciptakan pelbagai bentuk, rupa, karenah, ragam, dan sifat manusia. Ada yang berkulit putih, hitam, dan lain-lain. Ada juga yang rendah, tinggi dan sebagainya. Tetapi, itu semua TIADA ERTI, kerana Dia hanya melihat HATI. Hati yang Penuh dengan TAQWA akan berada di sisiNya, manakala hati yang penuh dengan KUFUR akan berada di tempat selayaknya (neraka). Sungguh, aku sangat takut jika tidak dapat berada di sisiNya. Kerana tiada Kebahagiaan Yang Hakiki melainkan bersamaNya. Allahu Robbi, Muhammadun Nabi. Laa Ilaaha IllAllah, Muhammadur Rasulullah."



Setelah beberapa lama dia di situ, Si Salik berangkat ke tempat lain. Dia berkata :-

"Alhamdulillah, syukur kepada Mu wahai Tuhan Yang Maha Penyayang ! Yang telah berikan kepada hambamu ini secebis Ilham dan tunjukkan jalan yang benar. Dan terima kasih juga kepadamu wahai sungai dan laut. Tanpa keduanya, aku tidak dapat mengenal Tuhan dengan lebih mendalam terutamanya kecintaanNya. Moga kita dapat berjumpa lagi di lain masa."

Si Salik terus sujud syukur dan kemudian membawa diri mencari Tuhan Hakiki.

Cintakan pokok,
Pokokkan layu,
Cintakan air,
Airkan kontang,
Cintakan Rasul,
Cinta Abadi,
Cintakan Allah,
Cinta Hakiki.

Beruntung bagimu,
Duhai insan terpuji,
Mencintai Nabi,
Tiada berbelah bahagi,
Cintai Allah,
Cinta Sejati,
Tiada kan mati,
Kerana di hati.

Sesungguhnya,
kecintaan itu...
Tiada erti,
jika kan mati,
Jadi sahabataku,
Cintalah Rasul,
Jangan dilupa,
Cintalah Allah.

Sesungguhnya..
Cinta mereka ~
Tiada kan hampa,
sampai bila-bila.
Oleh begitu,
jangan sia-siakannya,
Cintalah mereka,
sepenuh masa.

Sekian.

Aku hanya Pengemis. Pengemis Ilmu yang mencari Ilmu walau menyusuri Sungai mahupun Lautan.

Mohon maaf kerana tidak dapat "publish" cerita ini dengan lebih awal. Ini semua tertakluk pada Qudroh dan Irodah Allah swt. Semoga kisah ini bermanfaat kepada kita semua. Aaminn ~

KakiBlog