Friday 3 January 2014

Dialog Si Hamba Nan Salik

Assalamualaikum w.r.b.t, insyaAllah, pada posting kali ini, hamba ingin menukilkan beberapa pertanyaan dan jawapan seorang Hamba yang mencari TuhanNya.

Hamba ~ Pengertian hamba ialah makhluk yang tiada nilai apapun. Namun, seorang hamba boleh menjadi bernilai terhadap Tuannya. Bagi kita, Tuan kita adalah Pencipta kita, iaitu Allah swt.

Hakikat kehambaan adalah melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Allah swt minta hanya 2 benda asas tu, namun kita sangat SUKAR melakukannya ~ Kenapa ??

Allah swt beri mata, telinga, hidung, kepala, mulut, tangan, kaki, dan lain-lain lagi, namun, kenapa dengan anggota tersebut kita KUFUR terhadap Tuhan kita ?

Kalimah Syahadah Yang Harus DiHayati


Inilah Dialog Si Hamba nan Salik dan Si Fulan (gelaran bagi seseorang yang tidak menggunakan nama sebenar) : -

Allah swt sentiasa bersama kita


Tatkala ditanya kepadanya : -

1. Apa yang engkau ada ?

Si Hamba menjawab : "Allah swt"

Ditanya lagi : -

2. Apa yang engkau inginkan ?

Dia menjawab : "Allah swt"

Ditanya lagi : -

3. Apa yang engkau tunggu ?

Si Hamba tersenyum dan menjawab : "Allah swt"

Lalu, ditanya lagi : -

4. Siapakah engkau ?

Dia (Si Hamba) menjawab : "Aku hanya hamba Allah swt."

Dan akhir sekali, si penanya soalan (Si Fulan) berkata : -

Cerahkanlah dan terangkanlah pada ku setiap kata-kat engkau.

Si Hamba nan Salik itu tersenyum melihatnya dan berkata : -

Wahai sahabatku, bagi persoalanmu yang pertama, aku menjawab aku hanya memiliki Allah swt. Dia sentiasa bersamaku walau dimana aku berada dan dia sentiasa bersamaku pada setiap detik masa. Dia tidak pernah meninggalkanku, melainkan aku yang meninggalkanNya. Dia tidak mati. Dia selalu mendengar rintihan hatiku setiap waktu. Dia melihat keadaanku setiap detik. Itulah yang aku ada. Dia ada semasa aku perlukan, dan sentiasa ADA. Dialah Allah swt.

Berlainan dengan keluarga dan kawan-kawanku. Tak setiap masa mereka bersamaku. Apabila aku merantau, maka terpisahlah kami. Tatkala aku bersedih dan berduka cita, tak semua antara mereka mendengar rintihanku. Kadang-kadang aku lebih rela mendiamkan diri daripada memberitahu mereka. Kerana aku tak nak mereka dibebani masalahku. Tatkala aku lelapkan mata, maka tiadalah mereka memerhatikan aku sepanjang masa. Mereka tiada untuk menjagaku saat aku lelapkan mata, tetapi Dia sentiasa ada menjagaku. Tambahan pula, mereka bakal menemui kematian, jadi akan hilanglah mereka dari dunia ini, meninggalkan daku kesepian. Lalu, untuk apa aku bergantung pada mereka ? Sedangkan mereka TIDAK KEKAL. Aku hanya layak memiliki Yang Kekal, Yang Sentiasa Menjagaku, dan Mendengar rintihan hatiku.

Semoga Allah swt mengampuni kita :')

Kemudian, soalanmu yang kedua, aku menjawab, aku hanya inginkan Allah swt. Ya, itulah apa yang aku inginkan. Dialah yang menciptakan aku. Dialah yang memberi daku rezeki. Dialah yang menjanjikan daku syurga. Dialah yang memberikan aku segala-galanya. Jika aku inginkan semua itu, aku perlu hampir dengan diriNya. Tetapi, aku tidak inginkan ganjaran. Aku hanya inginkan Tuhanku. Aku hanya inginkan cintaNya. Aku ingin berada berhampiran denganNya. Aku menyembahNya bukan kerana inginkan syurga, bukan juga kerana takutkan neraka, tetapi aku menyembuhNya kerana Dia yang suruh. Sesungguhnya, jika aku bersujud kepadaNya dalam keadaan aku takut akan neraka dan inginkan syurga, maka aku merasakan syahadahku telah BATAL kerana aku telah berbuat SYIRIK kepadaNya. :')

Setelah itu, engkau bertanya tentang penungguanku. Aku hanya menunggu untuk berjumpa dengan Allah swt. Dia akan kembalikan aku ke tempat ASALku. Aku rindu ingin berjumpa denganNya. :')  Aku mahu melihat Tuhanku, yang selama ini aku sembahNya, dan aku bersujud padaNya. Aku tidak menunggu untuk ke syurga atau neraka. Tetapi aku menunggu untuk berada di sisiNya (di dalam Rahmat Allah swt). Tatkala aku berada di situ, maka aku akan senantiasa berada dalam KEBAHAGIAAN dan KENIKMATAN yang HAKIKI. :') Berada di dalam RahmatNya adalah KEBAHAGIAAN yang HAKIKI.

Adakah engkau berasa cerah wahai sahabatku ? :')

Si Fulan hanya mengalirkan air mata, dan berkata : "Teruskan pencerahan darimu" :')

Tiada cinta lebih bermakna daripada Cinta Allah swt

Engkau bertanya kepadaku, siapakah aku ? Sungguh, aku hanyalah seorang hamba Allah swt. Aku mencari Tuhanku, maka jadilah aku Si Salik. Dahulu, aku mengenal Tuhanku melalui kejadian dan ciptaanNya. Sekarang aku mahu kenal Dia melalui Dia. :') Aku melihat apa yang berada dan terjadi di sekelilingku ini sebagai rahmat dari Dia. Dia sentiasa menjagaku, melihatku. Aku tahu semua itu. Namun, kadang-kadang aku terjatuh ke dalam dunia fana' ini. Aku lupa tentang KehadiranNya dengan melakukan maksiat. Aku berasa sedih. Alhamdulillah, Dia tidak biarkan aku berada di dalam kencah maksiat. Dia memberi aku hidayah yang sangat bermakna. Maka aku bangkit dan buang pakaian hinaku, dan memakai pakaian taqwa dan hikmah. :') Biar aku dipandang keji dan hina di dunia, asalkan Tuhanku sentiasa memandang "tinggi" terhadap diriku.

Aku hanya Hamba Allah swt. Engkau pun Hamba Allah swt. Tuhanku memberi aku perintah yang sangat sedikit, iaitu MENYEMBAH Dia. MenyembahNya juga bermaksud, melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan laranganNya. Namun, aku berasa hairan, semakin hari, semakin ramai yang jatuh kufur, melakukan maksiat, sedangkan Allah swt telah memberi nikmat yang SANGAT BANYAK, dan hanya minta HAKNya kembali iaitu Sembah kepada Dia (Taat perintahNya). Kenapa kita begitu berat untuk melakukannya ? Adakah kita terlalu alpa dengan dunia ? Jika ya, maka buanglah dunia dari hatimu, dan kejarlah pertemuan dengan Tuhanmu. :')

Wahai sahabatku, engkau telah terima banyak "leteran" daripadaku. Sekarang laluan mana yang engkau inginkan ? Hamba atau ... apa ? :')

Si Fulan itu berkata : Aku inginkan laluanmu. Laluan sebagai seorang hamba. :') Aku ingin berjumpa, melihat sendiri Tuhanku. Tunjuklah aku caranya wahai sahabat :')

Si Hamba itu berkata : AllahuRobbi ! Datanglah dalam dakapanku wahai sahabat (saling berpelukan). Sungguh, aku tidak mampu menunjukkan jalan kepadamu, kerana Allah sahaja yang mampu. :') Marilah kita berdoa agar dipermudahkan urusan kita untuk bertemu dengan Yang Maha Esa. Sesungguhnya, Dia telah berfirman : -

"Katakanlah (Muhammad SAAW), : 'Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang telah menerima wahyu, bahawa sesungguhnya Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa'. Maka barangsiapa yang mengharapkan PERTEMUAN dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan kebajikan dan janganlah dia mempersekutukan dengan sesuatu pun dalam beribadah kepada Tuhannya." (Ayat 110 : Surah Al Kahfi).

Inilah dialog si Hamba yang Mukhlis. Tatkala dia (si hamba) mematuhi arahan TuhanNya, dan sentiasa mencari TuhanNya, maka jadilah ia Hamba dan Salik.

Cerita ini hanyalah Ilham dari Robb Al'alamin yang diberikan kepada seorang hamba. Andaikata ia bermanfaat, janganlah diPUJI kepada makhluk tetapi bersyukurlah kepada Ilah (Allah swt, Tuhan kita), dan sebarkanlah ia suoaya orang lain juga memperoleh manfaat. Seandainya ia tidak bermanfaat, aku menyusun 10 jariku memohon maaf.

Dari tinta Ilham Tuhanku,
Hamba yang selalu melakukan kesilapan,
Ajwad.


No comments:

Post a Comment

KakiBlog